2.3 Kemahiran Membaca.
2.3.1 Definisi kemahiran membaca.
Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain.
Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang. Membaca adalah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana membaca melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.
Kemahiran membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks. Ia meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analisis. Ketika seseorang itu membaca, ia sebenarnya sedang berkomunikasi secara langsung dan sedar dengan bahan bacaanya. Dia mencuba menyelami pemikiran dan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang. Seseorang yang berjaya menguasai kemahiran membaca bermakna dia telah berjaya merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar antara dirinya dengan lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk karya (Zulkifley Hamid, 1994).
2.3.2 Konsep membaca.
Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif.
Psikolinguitik kognitif menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan cara membunyikannya (dalam hati) dan kemudian menarik erti daripada kata-kata itu.
Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan satu organisma yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar. Ini merupakan satu proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.
2.3.3 Proses Membaca
Penyelidik-penyelidik seperti Goodman (1971, 1973) dan Smith (1971, 1975) misalnya, pernah menyatakan pendapat bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang bermula dari detik pembaca itu memerhatikan perkataan pada muka surat hingga detik pembaca itu dapat membentuk makna. Hal ini bermakna sepanjang proses membaca terdapat interaksi antara bahasa dengan pemikiran.
Proses membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut :
i. Perlakuan membaca terdiri daripada kemahiran mengenal dan memahami bahan yang dibaca.
ii. Kemudian, perlakuan membaca dapat menghasilkan kefahaman pembaca.
iii. Dalam proses membaca, seseorang itu akan berfikir, mencuba untuk merasai dan akan membayangkan maklumat yang dibaca tadi. Dalam hal ini, aktiviti membaca seolah-olah menjalinkan interaksi antara pembaca dengan penulis, serta tujuan tertentu yang hendak ditonjolkan.
iv. Seterusnya , perlakuan membaca memerlukan kebolehan pembaca mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek yang berkaitan dengan tujuan membaca, jangkaan, pengetahuan dan pengalaman lalu tentang perkara yang dibaca bagi menghasilkan sebuah pembacaan yang berkesan dan menerbitkan pemahaman terhadap bahan yang dibaca.
2.3.4 Jenis-jenis Bacaan
Sebenarnya, terdapat beberapa jenis bacaan yang tidak kita sedari selama ini kerana kita hanya sekadar menbaca tetapi tiada kesedaran untuk mengkaji jenis bacaan yang kita gunakan. Oleh itu, sila lihat rajah di bawah :
2.3.4.1 Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.
Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca.
Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu ketrampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah ketrampilan serta minat.
Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.
Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakan alat-alat pertuturan.
2.3.4.2 Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja.
Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.
2.3.4.3 Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan.
Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai cara iaitu :
i. bacaan pantas
ii. bacaan imbasan (scanning).
Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.
Bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning pula adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya.
2.3.4.4 Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:
b. Membaca sekilas (skimming)
c. Membaca dangkal (superticial reading)
Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.
Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.
Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta.
Satu daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum daripada sesebuah teks yang akan ditelaah. Pembaca mungkin akan melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut, susunan dan organisasinya.
Satu lagi tujuan membaca sekilas adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. Lazim juga digunakan untuk menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah sekiranya tidak disalahgunakan. Sekiranya kita dapat menggunakan dengan bijaksana, iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan kagum betapa banyaknya maklumat dan fakta yang boleh perolehi dalam satu jangka masa yang singkat.
Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca. Membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting.
2.3.4.5 Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.
2.3.4.6 Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi.
Proses bemula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.
Istilah membaca kritis ini biasanya disamaertikan dengan apa yang disebut oleh Dawson (1963) sebagai interpretive reading atau membaca intepretif atau creative reading, iaitu membaca kreatif oleh Anderson (1972).
2.3.5 Tujuan Membaca
1. Tujuan membaca mekanis:
a) Membolehkan murid-murid membaca dengan cepat dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.
b) Membolehkan murid-murid membaca dengan irama membaca yang betul.
c) Membolehkan murid-murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta tahu pula berhenti pada tempat berhenti yang betul.
d) Dapat menggunakan kemahiran membaca dalam mata-mata pelajaran yang lain.
e) Untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan untuk membaca bersuara.
2. Tujuan membaca senyap:
a) Melatih murid-murid supaya boleh membaca dengan sendiri.
b) Melatih murid-murid supaya boleh membaca dan memahami apa yang dibacanya.
c) Melatih murid-murid membaca senyap dengan pantas.
d) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk mendapatkan pengetahuan.
e) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk hiburan.
3. Tujuan Bacaan Intensif
b) Membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.
c) Mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang bertulis dalam bacaan itu dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.
d) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.
e) Menilai atau mengulas isi-isi yang diperolehi daripada bahan-bahan yang dibaca.
f) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa.
g) Mengenal pasti laras bahasa yang berbagai-bagai.
h) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya.
4. Tujuan Bacaan Ekstensif :
a) Membolehkan pelajar-pelajar membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada orang lain.
b) Membolehkan pelajar-pelajar membaca dengan fasih dalam bahasa yang mereka pelajari.
c) Memperkayakan bahasa dan perbendaharaan kata, struktur ayat dan lain-lain.
d) Menambah minat membaca
e) Mempertingkatkan mutu dan kepantasan membaca.
f) Memperkembangan daya kreatif dalam penggunaan bahasa, baik dalam bentuk prosa atau puisi.
2.3.6 Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Teknik tersebut merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam sesuatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan. SQ3R adalah singkatan bagi :
S (survey) - tinjau
Q (question) - soal/tanya
R (read) - baca
R (recite) - imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) - baca semula
Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.
Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.
2.3.7 Peringkat Kemahiran Membaca
Ada lima peringkat mengajar bacaan yang harus diketahui oleh guru-guru:
Peringkat menyediakan murid.
Peringkat mendirikan asas.
Peringkat melatih membaca dan memaham.
Peringkat melatih membaca untuk menghiburkan hati dan juga untuk mencari pengetahuan.
Peringkat membina dan memperkukuh sikap gemar membaca.
Peringkat menyediakan murid.
Apabila guru- guru menerima murid- murid baharu dalam setahun, biasanya guru itu mengajar terus dengan rasminya akan pelajaran membaca dan menulis kerana telah direncanakan di dalam jadual waktu.
Guru-guru tidak menyiasat terlebih dahulu adakah murid- murid mereka berkeadaan “sedia’ untuk menerima pelajaran yang akan disampaikan. Keadaan akan menjadi bertambah buruk lagi apabila latar belakang murid- murid itu kurang kerana datangnya daripada rumahtangga yang miskin pengalamannya berhubung dengan buku-buku, gambar-gambar dan huruf-huruf tulisan sangat kurang.
Oleh sebab itu, kenalah guru-guru menyiasat terlebih dahulu akan sifat kesediaan murid- murid mereka sebelum memulakan pelajarannya. Pada peringkat menyediakan murid ini, guru terpaksalah memberikan perhatian kepada dua perkara yang dikira penting:
- Perasaan murid-murid
- Bahasa murid-murid
a. Perasaan murid- murid
Murid- murid yang baharu masuk sekolah akan mengalami perubahan alam keliling. Mereka mulai beraa bimbang kerana berpisah daripada ibu bapa atau penjaganya dan tinggal di tempat dan dikawasan yang berlainan daripada rumah mereka. Ketika itu mereka bercampur gaul dengan kawan- kawan sebaya yang kebanyakkannya yang mereka tidak kenali. Jadi guru mestilah bertimbang rasa dan memahami kesulitan dan perasaan mereka. Dalam minggu pertama itu guru- guru sepatutnya cuba sedaya upaya mencari langkah- lagkah yang baik bagi menawan hati murid- urid hingga tertanam perasaan kasih kepadanya, mearuh kepercayaan kepada kata- katanya dan tidak menganggapnya sebagai orang asing.
b. Bahasa murid- murid
Kesukaran setengah- setegah guru mengajar membaca adalah kerana mereka itu kurang menyiasat tentang kebolehan dan keberanian murid-murid bertutur dan berbahasa, menyatakan perasaan dan fikiran masing-masing dalam bahasa kandungya.
Soal bahasa ini penting kerana bacaan adalah menyuarakan lambang-lambang bahasa itu. Sekiranya bahasa murid-murid itu belum lengkap, pertuturannya belum kemas, dan sebutan serta fahamannya belum sempurna, akibatnya kelak menyusahkannya membaca dan menulis.
Oleh itu guru sepatutnya terlebih dahulu menyiasat tentang bahasa murid-murid itu khasnya tentang bahasa yang akan digunakan dalam pelajaran bacaan. Sekiranya perbendaharaan kata yang dikehendaki itu belum ada, patutlah diajarkan melalui pelajaran lisan, cerita dan sebagainya.
2. Peringkat mendirikan asas bacaan
Asas beerti satu permulaan atau tapak bagi satu-satu binaan. Dalam soal mendirikan asas bacaan rumi bahasa Malaysia perkara-perkara seperti pemilihan ayat, rangkai kata, perkataan, huruf-huruf dan suku kata berkehendakkan kajian yang mendalam dan teliti daripada pihak guru supaya pelajaran yang disampaikan itu tidak membosankan murid-murid. Hal-hal di atas ini berhubung rapat dengan alatan mengajar dan buku- buku bacaan yang sesuai. Selain daripada papan tulis dan kapur putih, guru juga mestilah menyediakan kapur yang berwarna, papan magnet, kad-kad imbasan yang telah tersedia bertulis, kad-kad perkataan suku kata dan ayat serta gambar-gambar berwarna untuk menarik hati dan minat mereka.
3. Peringkat melatih membaca dan memaham
Bahan atau isi bacaan hendaklah sesuai dengan peringkat umur dan kecenderungan kanak- kanak.guru janganlah hanya mementingkan sebutan suara dan kelancaran sahaja tetapi mestilah juga sekaligus menyediakan soalan- soalan yang mudah untuk kefahaman. Jadi kita tidak boleh pisahkan pelajaran bacaan dengan pelajaran bahasa Malaysia pada keseluruhannya. Dalam hal ini, bacaan senyap hendaklah juga digalakkan supaya murid- murid dapat melatih diri sendiri untuk menangkap maksud isi pelajaran yang dibaca.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, tidaklah ada gunanya kanak- kanak membaca kalau mereka tidak faham apa yang dibaca.
4. Peringkat membaca untuk hiburan dan mencari pengetahuan
Kanak- kanak yang mahir membaca akan terdorong hatinya untuk menggunakan kemahiran memebacanya untuk menghiburkan hatinya. Oleh hal yang demikian tersangatlah mustahak pada peringkat ini disediakan pelbagai buku cerita untuk menyempurnakan kehendak ini. Buku-buku yang biasanya digemari oleh kanak- kanak ialah buku- buku yang mengandungi cerita- cerita dongeng, cerita-cerita bergambar, cerita- cerita binatang, cerita- cerita jenaka dan sebagainya. Buku-buku cerita itu seharusnya janganlah terlalu panjang atau susah hendak difahami. Kanak-kanak yang kurang tertarik dengan buku-buku yang bahasanya yang terlalu tinggi dan susah dibaca.
Untuk mendapat pengetahuan pula, sekolah harus memperbanyakkan lagi buku- buku seperti itu dan pemilihannya harus bersesuaian dengan minat dan umur murid. Amatlah mustahak perkara- perkara ini dipertimbangkan kerana pemilihan yang tepat akan menggalakkan minat murid untuk terus membaca.
5. Peringkat membina sikap gemar membaca
Sikap suka belajar patut ada pada murid- murid yang baharu datang ke sekolah tetapi hidup matinya sikap itu adalah bergantung kepada pengajaran guru. Sikap ini bukanlah dipelihara semasa murid- murid baharu belajar membaca tetapi sebenarnya berjalan sepanjang masa, sama dengan peringkat- peringkat yang lain juga. Bahan- bahan pelajaran yang menarik dan disusun dengan cermat, teknik mengajar yang baik, kaedaqh yang baik adalah di antara rahsia bagi mendirikan sikap ini. Oleh itu tersangatlah mustahak guru- guru berhati- hati memilih bahan –bahan pelajarannya, buku- buku bacaannya , kaedah mengajarnya dan lain- lain supaya terbina dan terpelihara sikap’ sentiasa gemar membaca’ itu.
2.3.8 Peringkat Pemahaman
Terdapat beberapa peringkat pemahaman dalam kemahiran membaca ini. Peringkat tersebut adalah seperti yang berikut :
- Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
- Mengaitkan lambang atau perkataan tersebut dengan bunyi atau makna.
- Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkan dengan maklumat yang sedia ada dalam pemikiran.
- Mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
- Menghuraikan dan mengelaskan idea yang dibaca dalam bentuk penceritaan semula, menjawab soalan pemahaman dan penulisan biasa dan penulisan kreatif.
2.3.9 Kecekapan Berbahasa dalam Kemahiran Membaca.
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan pelajar membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan kemahiran menggunakan pelbagai teknik membaca untuk tujuan menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh maklumat daripada pelbagai bahan bacaan. Kecekapan berbahasa bagi kemahiran membaca adalah seperti berikut:
- Membaca secara bersuara/kuat dengan penyebutan dan intonasi yang betul dan juga kelancaran yang sesuai.
- Memetik isi-isi penting sama ada isi tersurat atau tersirat yang termuat dalam bahan bacaan dengan cepat dan tepat.
- Memperkaya dan memperluas perbendaharaan kata pelajar supaya meninggikan daya mengerti dan juga menggunakan dengan betul perkataan/frasa dalam konteks ayat.
- Mentafsir suatu bahan yang dibaca dengan tepat dan menyatakan tafsirannya dengan menggunakan perkataan sendiri seberapa banyak yang mungkin dengan jelas.
- Menghayati bahan sastera Melayu dalam bentuk prosa dan puisi.
2.3.10 Cara Meningkatkan Kemahiran Membaca.
Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar.
a. Membaca dengan nada yang kuat dan menegaskan penyebutan, intonasi yang betul, dan lancar.
b. Membaca secara senyap dan pantas untuk memahami fakta, idea, isi penting, nilai pengajaran, tema, dan rumusan yang terkandung dalam pelbagai bahan bacaan.
c. Mencari erti atau maksud perkataan, frasa, simpulan bahasa, dan peribahasa yang wujud dalam sesuatu petikan.
d. Menjawab soalan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis untuk menguji
kebolehan mengerti dengan menggunakan perkataan sendiri.
e. Memberi tugasan kepada pelajar untuk membaca petikan (sama ada daripada akhbar, novel, cerpen, majalah, dan sebagainya) dan membuat ulasan untuk menunjukkan pemahamannya ke atas petikan tersebut.
f. Membaca petikan kesusasteraan Melayu (prosa dan puisi) untuk memahami dan menghayati keindahannya.
2.3.11 Prinsip-prinsip Kemahiran Membaca.
Kegiatan membaca dan kefahaman haruslah dijalankan berasaskan prinsip berikut:
- Penyebutan dan intonasi haruslah diberi penegasan yang wajar dalam latihan membaca dengan bersuara, dan melibatkan pelajar dalam pengenalpastian dan pembetulan kesalahan.
- Dalam latihan perbendaharaan kata, petikan berkenaan hanya digunakan sebagai konteks sahaja, dan contoh-contoh patutlah dilanjutkan ke luar petikan. Penekanan yang wajar mestilah diberi kepada penggunaan perkataan/frasa dalam ayat yang betul selain penentuan erti/maksudnya.
- Bacaan tambahan Bahasa Malaysia harus digalakkan dengan memperkenalkan sumber lain seperti surat khabar, majalah, novel, cerpen, dan sebagainya kepada pelajar. Guru juga boleh memperuntukkan satu masa khas untuk tujuan di atas dalam setiap minggu. Pelajar didorong untuk mencatatkan perkataan/frasa baru yang dipelajari dalam kamus sendiri.
- Untuk mengelakkan aktiviti bacaan dan kefahaman menjadi sesuatu yang membosankan, isu-isu semasa dan topik-topik hangat juga harus dijadikan bahan bacaan.
- Latihan penggunaan kamus dengan cekap untuk mencari erti atau penggunaan perkataan tertentu harus dititik berat.
- Soalan kefahaman mestilah juga menguji kebolehan pelajar untuk merumus, menganalisis dan menilai dan boleh mengaitkan sesuatu di luar petikan misalnya memerlukan pelajar mengemukakan pandangan terhadap sesuatu.
2.4 Kemahiran Menulis.
2.4.1 Definisi Menulis
Secara umumnya, menulis merupakan perlakuan menggunakan pen, pensel atau sebarang alat tulis bagi menulis atau menaip sebarang idea mahupun pernyataan. Namun begitu, definisi ini begitu umum dan bersifat mekanikal.
Definisi menulis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 1729), ialah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena seperti kalam,kapur , pensel dan lain-lain. Di samping itu, menulis juga bermaksud melahirkan perasaan (fikiran dan lain-lain) dengan catatan yang memakai huruf, membuat surat atau mengarang.
Menurut Paul Jennings pula dalam The Reading Bug, “Menulis adalah keperluan peribadi bukan kerana tugas di dalamnya tetapi ada kesenangan dan ada manfaat untuk kehidupan sehari-hari. Ada nilai yang tak ternilai dalam kegiatan ini.”
Sebenarnya, menulis bermaksud kegiatan simbol-simbol grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat. Tulisan pula merupakan bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi di samping sebagai alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.
2.4.2 Konsep Menulis.
Konsep menulis secara khusus dikaitkan dengan proses penyaluran ilmu, idea atau maklumat secara bersistem yang mengambil kira aspek tujuan menulis, penggunaan bahasa, audiens dan gaya penulisan supaya dapat menggambarkan keadaan, alam dan kehidupan secara lebih menyeluruh.
Oleh yang demikian, kemahiran menulis bukan suatu yang bersifat tetap tetapi mampu membantu ke arah pemahaman pemikiran terhadap proses penulisan terutama dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah contohnya keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, peranan tulisan sangat penting kerana tulisan bertindak sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan mempamerkan buah fikiran seseorang. Tulisan berhubung rapat dengan membaca di mana kedua-duanya mementingkan teknik dan akal. Membaca tidak mungkin ada kalau tidak ada tulisan begitu juga sebaliknya.
Di sekolah-sekolah, pelajaran menulis dan membaca bukanlah sesuatu yang terpisah sifatnya malah seharusnya dijalankan serentak atau dalam masa selari. Walaupun pada dasarnya membaca seharusnya mendahului tulisan tetapi kadangkala kanak- kanak telah pandai menulis ketika masuk sekolah. Ini tidaklah merisaukan kerana sewaktu mereka menulis mereka juga membaca.
2.4.3 Fungsi-fungsi Kemahiran Menulis.
Ann Raimes (1983 : 3) telah mengemukakan tiga fungsi kemahiran menulis melalui bukunya Techniques In Teaching Writing, iaitu :
1. Merangsang dan memahirkan tatabahasa, idea, perbendaharaan kata dan perasaan.
2. Memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai bidang bahasa.
3. Memperluaskan pengatahuan, melahirkan idea, dan mnggunakan seluruh anggota mekanis (mata, tangan, akal dan lain-lain) untuk merangsang pembelajaran.
2.4.4 Tujuan Menulis.
Walau bagaimanapun, fungsi kemahiran menulis akan lebih jelas peranannya, apabila fungsi itu dilihat melalui tujuan yang berikut :
2.4.4.1 Tujuan Serta-merta
a) Membina asas menulis yang kukuh untuk membolehkan kanak-kanak menulis dengan baik, cekap dan pantas.
b) Membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan dengan pantas dan menyusun ayat-ayat dengan betul dan boleh difahami oleh pembaca.
c) Membolehkan kanak-kanak mengulangi pelajarannya dengan cara membaca tulisan-tulisan yang tercatat atau membaca buku-buku luar untuk menambahkan isi bacaannya.
d) Membolehkan kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bentuk tulisan.
e) Menyuburkan minat suka menulis atau mengarang dalam kalangan kanak-kanak.
f) Menambah dan meluaskan pengetahuan kanak-kanak dalam perbendaharaan kata, perkembangan bahasa dan tulisan.
g) Menyediakan kanak-kanak unuk menghadapi peperiksaan.
h) Meluaskan pengetahuan pengalaman, perhubungan, dan matlamat menerusi penulisan.
i) Memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, pengalaman, dan perasaan.
j) Menyediakan mereka dengan pengetahuan supaya dapat memenuhi kehendak dan hasrat masyarakat moden, khususnya bagi kepentingan sendiri dan orang ramai umumnya.
2.4.4.2 Tujuan Lanjut
Menurut Down Bryne (1979) pula, kemahiran menulis amat penting untuk dipelajari kerana beberapa tujuan iaitu :
i. Terdapat perbezaan kecenderungan individu atau pelajar yang menguasai kemahiran belajar.
ii. Bagi memenuhi keperluan psikologi pelajar.
iii. Dapat menyediakan pelbagai aktiviti dalam bilik darjah dan ia dapat mengelakkan rasa jemu dan bosan pelajar.
iv. Aktiviti secara formal dan tidak formal dapat dijalankan secara serentak dalam bilik darjah.
Namun, terdapat beberapa tujuan menulis secara yang diterangkan secara umum iaitu :
1. Memberi Respons.
Menulis bertujuan untuk memberikan reaksi terhadap suatu perkara dengan menggunakan bahasa sebagai perantara. Apabila menulis, penulis sering berasakan dirinya dalam situasi terasing seperti perlakuan penulis dengan helaian kertas yang digunakan semasa menulis. Keadaan tersebut menggambarkan penulis melakukan tingkah laku sosial bagi memberikan respons kepada orang lain atau memaparkan persekitaran dan pengalaman yang dilaluinya.
Hal ini disebabkan oleh aktiviti menulis sering dilaksanakan dalam situasi dan konteks yang spesifik contohnya penulis menggambarkan keindahan alam atau perwatakan manusia.
Di samping itu, penulisan adalah proses menyampaikan buah fikiran, idea, atau pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan bentu grafik. Bentuk grafik tersebut disusun sehingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya .
2. Komunikasi.
Proses komunikasi sememangnya memerlukan hubungan dua hala antara penulis dengan pembaca. Dalam hal ini, penulis akan menulis berita, memo, iklan atau kenyataan untuk dikongsikan bersama pembaca dengan berharap agar pembaca dapat memahami mesej yang disampaikan. Mesej tersebut dapat menimbulkan pelbagai reaksi.
Komunikasi sehala yang wujud dapat membantu melahirkan idea konstruktif dalam kalangan penulis. Keadaan ini akan menimbulkan suasana perlunya saling memahami antara kedua belah pihak iaitu penulis dan pembaca, selepas masing-masing mentafsirkan tulisan yang ditulis dan dibaca dengan rasional.
3. Ekspresi Kendiri.
Penulisan berbentuk naratif mahupun bukan naratif sebenarnya memberi peluang kepada penulis menyatakan idea, harapan, falsafah hidup atau gambaran imaginasi dalaman yang dapat memberikannya kepuasan serta menimbulkan pelbagai bentuk reaksi daripada pembaca.
Dari segi pernyataan personaliti, penulisan yang dihasilkan oleh pelajar sering dapat ditafsirkan oleh guru bagi menggambarkan personalti pelajarnya.
4. Sifat Sejagat.
Dalam penulisan, sifat umum dapat dilihat melalui prosedur penulisan tersebut manakala kesejagatan pula daripada segi bahan yang ditulis. Sifat umum dalam penulisan juga digambarkan dari segi kepentingan menggunakan bahasa yang baik untuk memudahkan pembaca memahami mesej yang disampaikan.
Dalam penulisan berita umpamanya, mempunyai mesej yang sama yang dapat ditulis dalam gaya yang berlainan. Penulisan berbentuk fiksyen juga begitu, pengolahan cerita biasanya mempunyai sifat yang sejagat sama ada penghuraian plot, perkembangan watak mahupun peleraian konflik.
5. Mengikut Peraturan.
Peraturan yang telah ditetapkan dalam proses menulis adalah bertujuan untuk mengawal penulis supaya dapat menyampaikan mesej dengan lebih tepat dan memberi makna kepada pembaca.
Selain itu, peraturan juga dapat menjamin penulisan tidak bersifat bebas sehingga boleh mengakibatkan salah faham terhadap maklumat yang disalurkan melalui tulisan. Keberkesanan peraturan tersebut jelas terdapat dalam penulisan berformat serta penulisan kreatif. Peraturan dan prosedur penulisan adalah penting supaya hasil tulisan itu dapat dipertanggungjawabkan.
6. Proses Pembelajaran.
Dalam konteks pendidikan, kemahiran menulis juga amat penting bagi pelajar untuk dikuasai menerusi pembelajaran secara formal. Kemahiran tersebut memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan supaya penyampaian maklumat dapat disampaikan tanpa sebarang halangan komunikasi.
Oleh yang demikian, proses memberikan kefahaman kepada pembaca menjadi lebih baik apabila penulis menunjukkan penguasaan yang mendalam dalam bidang penulisan secara lebih sistematik.
2.4.5 Jenis-jenis Kemahiran Menulis.
Terdapat dua jenis kemahiran yang perlu dikuasai dalam menyampaikan pengajaran kemahiran menulis iaitu kemahiran menulis secara mekanis dan kemahiran menulis untuk pelahiran (mental).
2.4.5.1 Kemahiran Menulis Secara Mekanis
Kemahiran menulis secara mekanis merupakan kemahiran menulis secara peringkat awal yang perlu dikuasai agar para pelajar dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca.
Aktiviti-aktiviti tulisan seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf adalah penting untuk memberi latihan dan pengalaman asas agar pelajar-pelajar dapat menguasai kemahiran selanjutnya seperti menulis suku kata, rangkai kata dan sebagainya.
Kebolehan menulis dalam kalangan kanak-kanak timbul daripada keinginan mereka untuk menyatakan sesuatu melalui perantaraan tulisan. Sebelum mereka dapat berbuat demikian dengan cara yang dapat difahami oleh orang lain, mereka perlu menguasai mekanik tulisan itu dahulu. Keinginan tersebut haruslah digunakan sebagai pemangkin semangat untuk belajar menulis.
Kematangan urat saraf dan urat daging adalah diperlukan bagi mengawal jari dan tangan, seterusnya kematangan tersebut perlu untuk penyelarasan antara mata dan tangan. Contengan merupakan asas bagi kebolehan menulis kerana semasa kanak-kanak mempelajari fungsi lambang huruf (tulisan) sebagai mewakili bunyi suara (bahasa), mereka dapat membezakan bentuk-bentuk huruf yang digunakan dalam bacaan. Kemudian, daripada latihan contengan tersebut mereka dapat meniru huruf yang dilihat dalam bacaan mereka.
Aktiviti-aktiviti mekanikal yang perlu ditekankan supaya lebih mahir dalam kemahiran menulis adalah seperti :
a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk garisan-garisan, bulatan, segi-segi dan sebagainya.
b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulis di awangan, pasir, papan tulis dan sebagainya.
c) Bermain dengan benda-benda seperti plastisin dan susun blok mainan serta melatih menulis unsur-unsur huruf dan perkataan.
d) Melatih atau tunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, jarak, kekemasan dan lain-lain.
f) Melatih menulis cepat, jelas dan senang dibaca.
g) Melatih menulis cantik dan kemas.
2.4.5.2 Kemahiran Menulis Secara Mentalis (Pelahiran).
Kemahiran menulis untuk pelahiran selalunya dikuasai oleh murid-murid setelah mereka mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental. Aktiviti-aktiviti yang patut dijalankan untuk mendapatkan kemahiran menulis untuk pelahiran adalah seperti berikut :
a) Latihan pernyataan fikiran atau pendapat.
b) Latihan pernyataan perasaan.
c) Latihan pernyataan kehendak.
d) Latihan mengeluarkan pendapat-pendapat yang tulen dan asli lahir dari pemikiran sendiri.
2.4.6 Peringkat-peringkat Kemahiran Menulis.
Kemahiran menulis sememangnya perlu diajar kepada kanak-kanak mengikut peringkat-peringkat tertentu supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif iaitu :
2.4.6.1 Peringkat Pramenulis (Persediaan)
Peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Ketika tempoh ini, latihan otot-otot, tangan, dan jari serta koordinasi tangan dan mata diber pendedahan kepada murid-murid sejak dari awal lagi.
Berdasarkan kajian Wilma dan Davidebbitt (1978), konsep peringkat pramenulis adalah berdasarkan aspek berikut :
i. Melampiaskan otak isi atau idea sesuatu tajuk.
ii. Perbincangan.
iii. Membuat pembacaan dan rujukan.
iv. Membuat rangka dasar.
v. Mencari pendekatan yang sesuai.
Bagi membolehkan murid-murid menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancangkan mestilah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pramenulis yang berbentuk bebas.
Latihan-latihan pramenulis menitikberatkan perkara-perkara berikut :
a) Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan.
b) Menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan sempurna.
c) Melakukan latihan-latihan pergerakan mata.
d) Melakukan latihan-latihan koordinasi tangan dan mata.
Aktiviti-aktiviti Latihan Pramenulis :
a. Latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan. Ini adalah latihan menulis dari kiri ke kanan.
---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ----------
b. Latihan mewarnakan dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri.
c.Latihan membentuk bulatan di udara, meja, lantai, atas pasir dan rumput tanpa menggunakan alat tulis. (bulatan besar – bulatan kecil).
d. Latihan-latihan gerak jari dengan mempermain-mainkan jari, menekan-nekankan jari, menggoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya.
e. Latihan-latihan membentuk garisan lurus.
f. Latihan membentuk corak-corak campuran bulatan dan garisan lurus. Dilakukan secara bebas
g. Latihan melukis gambar-gambar yang mengandungi garisan-garisan lurus dan bulat.
2.4.6.2 Peringkat Asas Menulis (Mekanis).
Selepas murid-murid menjalankan latihan pramenulis, faham dan tahu memegang pensel serta boleh duduk dengan cara yang betul, seterusnya mereka boleh dilatih membentuk lambang-lambang tulisan.
Peringkat ini dijalankan secara serentak dengan pengajaran bacaan murid-murid. Mereka diperkenalkan dengan lambang-lambang huruf yang bersesuaian dengan gambar dan seterusnya menulis ayat pendek. Semasa menulis, pelajar digalakkan menyebut huruf dan membaca perkataan tersebut.
Pada peringkat awal, dicadangkan agar murid-murid membentuk huruf di atas kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan. Setelah didapati memuaskan, barulah mereka dilatih membentuk huruf pada halaman yang bergaris. Apabila murid mula membentuk huruf-huruf pada kertas bergaris, kawalan tulisan perlu dilakukan yang harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran satu garis.
Berikut adalah latihan menulis terkawal dari mula hingga ke lembaran satu garis itu :
i. Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan yang terkawal.
ii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua.
________________________________________________
________________________________________________
________________________________________________
________________________________________________
iii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu.
_________________________________________________
_________________________________________________
iv. Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara yang betul untuk mendapatkan keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah dibaca.
______________________________________________________
______________________________________________________
______________________________________________________
Semasa menyampaikan kemahiran-kemahiran yang telah dinyatakan di atas, guru haruslah memberi perhatian terhadap beberapa perkara iaitu :
i. Kanak-kanak harus diperkenalkan kepada lambang-lambang huruf-huruf dengan menggunakan gambar.
ii. Sebelum dilatih menulis, baik juga diberi latihan bebas untuk membetulkan urat-urat daging kanak-kanak.
iii. Kanak-kanak menulis dengan mengeja dan menyebut nama-nama huruf.
iv. Menggunakan kertas, mula-mula tidak bergaris kemudian barulah menggunakan buku yang bergaris.
v. Setelah kanak-kanak dapat menggunakan alat-alat dengan baik, seterusnya mereka boleh dilatih menggunakan buku dan alat-alat lain yang sesuai.
Aktiviti-aktiviti yang perlu ditekankan dalam melatih murid-murid semasa peringkat asas menulis adalah seperti :
a. Menekap huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
b. Menulis huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
c. Memadan dan menyalin dua suku kata supaya menjadi perkataan yang bermakna.
d. Menulis huruf yang tertinggal dalam ruang atau petak yang dikosongkan.
e. Menyalin ayat-ayat mudah dan sebagainya.
2.4.6.3 Peringkat Menulis untuk Pelahiran.
Setelah peringkat asas menulis telah dikuasai oleh murid-murid, mereka seharusnya digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Kaedah-kaedah yang dicadangkan adalah bermula daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, megisi tempat kosong, melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh menghasilkan tulisan tanpa panduan.
Contoh-contoh aktiviti yang sesuai dijalankan adalah seperti berikut :
i. Mengisi silang kata.
ii. Mengisi tempat kosong dalam ayat.
iii. Melengkapkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
iv. Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi.
v. Memanjangkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
vi. Membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita.
vii. Menulis ayat-ayat berdasarkan gambar yang disediakan.
viii. Menulis jawapan-jawapan kefahaman.
ix. Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan.
x. Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya. (rujuk sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah di bahagian lampiran).
2.4.7 Kesalahan Biasa Dalam Penulisan.
Pada peringkat awal murid-murid mempelajari kemahiran menulis, biasanya tidak sempurna dan sering berlaku kesilapan. Namun begitu, kesilapan-kesilapan tersebut boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dengan memperbanyakkan latihan menulis serta memberi galakan.
Kesalahan-kesalahan biasa dalam penulisan yang sering kali terjadi adalah dari segi bentuk huruf yang buruk, tidak sama besar atau kecil. Selain itu, jarak huruf atau perkataan yang tidak seimbang, begitu juga dengan kedudukan yang tegak dan condong. Di samping itu, rupa tulisan juga kadang kala kotor disebabkan oleh kerap membetulkan kesilapan menggunakan getah pemadam.
Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan di atas, masalah ini mampu diatasi dengan beberapa cara yang memerlukan bimbingan daripada guru iaitu :
i. Beri latihan secukupnya pada peringkat permulaan dan peringkat mendirikan asas.
ii. Berilah penerangan dan contoh-contoh yang betul dan sesuai supaya dapat diikuti oleh kanak-kanak dengan mudah.
iii. Apa yang ditulis oleh guru sama ada sebagai contoh untuk disalin oleh murid atau sebagainya hendaklah dibuat dengan baik dan betul.
iv. Sediakan kad-kad tulisan untuk melatih kanak-kanak menulis dengan sempurna.
v. Jangan galakkan mereka menggunakan getah pemadam terlalu kerap kerana boleh mengotorkan tulisan.
vi. Banyakkan latihan dan berikan bantuan perseorangan.
vii. Dari segi kedudukan menulis dan cara menulis :
a) Tunjukkan gaya duduk, cara memegang alat tulis, letak buku dan lain-lain dengan betul.
b) Kedudukan bangku, meja, kerusi dan sebagainya biarlah memberi keselesaan.
c) Pada masa menulis, biarlah kedua-dua tangan terletak di atas meja dan tangan kiri menyokong badan.
d) Jarak mata dengan buku adalah lebih kurang antara 8 hingga 10 inci.
e) Jangan memegang pen atau pensel terlalu kuat.
f) Pen atau pensel mestilah dipegang dengan jari telunjuk, ibu jari dan jari hantu.
g) Jangan duduk membongkok ketika menulis.
2.4.8 Jenis-jenis Penulisan.
2.4.8.1 Terkawal dan Separa Terkawal.
Penulisan peringkat terkawal merupakan penulisan peringkat asas atau pertama yang harus dilalui oleh murid-murid dalam gerak kerja penulisan. Penulisan terkawal ialah segala isi dan bahasanya sedia terkawal oleh guru. (Salleh Akib, (1975:135)).
Susunan penulisan ini dkawal ketat dan sedikit-sedikit dipimpin ke arah penulisan bebas. Tujuan penulisan terkawal ini adalah untuk mengurangkan kesilapan berlaku dalam kalangan murid-murid. Kelancaran dalam penggunaan bahasa dan membolehkan murid-murid mengeluarkan fikiran mereka tanpa diganggu oleh soal bahasa.
Pada peringkat ini latihan penulisan yang diberi, dikawal sepenuhnya agar murid-murid tidak melakukan kesilapan. Pengawalan dilakukan terhadap murid-murid yang seratus-peratus baru sahaja mula belajar mengarang atau didapati lemah dalam mengarang. Selalunya, mereka menyalin apa sahaja yang ditulis oleh guru di papan hitam. Latihan-latihan haruslah terdiri daripada perenggan yang pendek-pendek yang bertujuan sebagai lathan mekanikal semata-mata.
Walau bagaimanapun, guru masih boleh memasukkan variasi dan perhidangan dalam latihan yang diberi pada peringkat tersebut iaitu peringkat menyalin dan menghasilkan semula. Meraka misalnya, boleh diberi latihan menyalin ayat-ayat daripada rajah tukar ganti yang mudah. Walaupun latihan tersebut adalah menyalin, mereka diarahkan memilih satu item yang mereka suka daripada rajah tukar ganti tersebut. Pada peringkat ini, item yang mereka pilih itu adalah yang berhubung dengan leksikal, sedangkan struktur ayat adalah tepat dan sama.
Peringkat penulisan terkawal adalah amat penting yang bertujuan untuk :
i. Cara ini dapat mengurangkan kesilapan yang dibuat oleh kanak-kanak.
ii.Menjadi asas kepada penulisan bebas. Murid-murid dipimpin dan dilatih sedikit demi sedikit kea rah penulisan bebas yang menitikberatkan soal-soal isi dan bahasa.
iii.Supaya murid-murid dapat menggunakan bahasa dengan lancar dan mengeluarkan isi pemikirannya dengan tidak diganggu oleh kesulitan-kesulitan berbahasa.
Pelbagai bentuk latihan yang boleh dilaksanakan kepada murid-murid berhubung dengan penulisan terkawal iaitu :
i. Menjawab soalan-soalan yang telah disediakan terlebih dahulu yang berkaitan dengan sesuatu tajuk.
ii. Menulis semula cerita yang dibaca, didengar atau diperdengarkan.
iii. Menulis surat. Isi surat tersebut ditetapkan oleh guru supaya menyenangkan murid-murid menulisnya.
iv. Mengisi tempat-tempat kosong dalam sebuah cerita atau karangan yang telah disediakan.
v. Menulis isi perbualan atau perbincangan yang berhubung dengan sesuatu tajuk, kejadian, peristiwa atau sebagainya.
vi. Menulis ayat atau cerita daripada gambar-gambar yang disediakan.
vii. Membuat ayat-ayat secara lisan atau tulisan daripada perkataan-perkataan yang diberi.
Seterusnya, pada peringkat separa terkawal pula murid-murid masih diberikan kawalan walaupun tidak sepenuhnya. Mereka diberi peluang untuk menggunakan sedikit daya pemikiran untuk memilih perkataan dan disesuaikan dengan pengajaran guru. Contohnya, guru akan membacakan sebuah karangan pendek yang sedia ditulis di papan hitam dan kemudian murid-murid diminta menggantikan beberapa perkataan yang telah dipadam dengan perkataan-perkataaan lain yang disediakan. Latihan tersebut mungkin menimbulkan sedikit kesukaran dan murid-murid boleh melakukan kesalahan.
2.4.8.2 Berpandu.
Jenis penulisan berpandu pula ialah jenis penulisan yang diberi kawalan atau panduan ketika hendak membuat karangan. Pada peringkat ini, kemungkinan murid-murid akan melakukan kesalahan-kesalahan yang lebih besar tetapi ada kekecualian bagi mereka yang telah menerima latihan-latihan yang banyak dan dapat memahami sepenuhnya cara tersebut pada peringkat karangan terkawal dan separa terkawal.
Sebagai contoh, guru membaca sebuah karangan yang sudah disediakan. Kemudian murid-murid diminta menuliskan semula perenggan-perenggan tersebut berdasarkan garis panduan atau arahan yang diberi oleh guru. Pada peringkat ini guru masih memberi bimbingan kepada murid-murid.
2.4.8.3 Separa Berpandu.
Penulisan separa berpandu pula merupakan jenis penulisan yang tidak dikawal sepenuhnya. Walau pun diberi garis panduan tertentu, namun murid-murid diberi sedikit kebebasan untuk membuat karangan. Oleh yang demikian, kemungkinan peratusan kecil sahaja yang akan berlaku. Melalui cara ini mereka dapat meluahkan isi fikiran biarpun terdapat sedikit kawalan, namun sekurang-kurangnya kawalan tersebut dapat memberi cetusan idea.
2.4.8.4 Bebas.
Penulisan bebas adalah penulisan yang hanya dapat dijalankan setelah murid-murid sudah mula boleh menguasai bahasa yang diajar itu dengan baik. Pada peringkat ini, mereka diberi tajuk-tajuk umum dan diminta untuk terus menumpukan perhatian kepada apa yang hendak ditulis dan bukan lagi bagaimana hendak menulisnya.
Oleh sebab murid-murid ini telah mempunyai kemahiran tatabahasa dan kemahiran mekanikal yang mencukupi, guru hanya perlu menumpukan kepada isi dan kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Perkara penting yang diingatkan di sini adalah mengajar penulisan yang berbentuk bebas seharusnya dilewatkan oleh guru supaya murid-murid terlebih dahulu dapat menguasai perkara-perkara asas seperti penguasaan perbendaharaan kata (pemilihan perkataan) dan sruktur ayat bahasa tersebut.
Pada peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat sekolah menengah, jenis penulisan sebegini diperluaskan lagi kepada beberapa bentuk yang dibahagikan kepada lima bahagian iaitu penulisan berbentuk naratif, deskriptif, imaginatif, kreatif dan argumentatif.
Penulisan bentuk naratif meliputi jenis-jenis cerita, berita, laporan, rencana dan ulasan. Penulisan jenis deskriptif pula merangkumi gambar suasana, peristiwa, benda dan perwatakan. Penulisan jenis imaginatif berkait rapat dengan pengalaman sementara yang berbentuk argumentatif pula terlibat dengan perbincangan, kritik dan perbahasan. Penulisan berbentuk kreatif meliputi puisi, cerpen, drama dan sebagainya yang merupakan ekspresi dan perasaan serta pengalaman seseorang melalui tulisan atau perkataan.
2.4.9 Kecekapan Berbahasa bagi Kemahiran Menulis
Dalam kemahiran menulis, pelajar harus berupaya menghasilkan pelbagai penulisan dengan tepat dan jelas tentang perasaan, pengalaman diri, dan ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan. penekanan harus diberi pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca, dan ejaan yang betul. Pelajar juga digalakkan menghasilkan karya yang kreatif berdasarkan pemikiran yang kritis dan analitis. Kecekapan berbahasa bagi kemahiran menulis adalah seperti berikut:
- Pelajar dapat melahirkan secara bertulis fikirannya, perasaan dan pengalaman dengan jelas, tersusun, logik, dan menggunakan tatabahasa yang betul.
- Mengembangkan daya cipta untuk menulis sesuatu yang kreatif atau kritis seperti cerpen, cerita imaginasi, pandangan, perbincangan, perbahasan, dan syarahan.
- Menterjemahkan bahan prosa bahasa tertentu ke dalam bahasa Malaysia Baku dengan memelihara makna asalnya.
- Menghasilkan rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
- Membolehkan pelajar berkomunikasi secara bertulis dalam urusan rasmi atau rakan sebaya untuk memenuhi pelbagai keperluan.
2.4.10 Prinsip-prinsip Kemahiran Menulis.
Kemahiran menulis seharusnya diajar dengan prinsip yang betul dan sesuai agar pengajaran untuk menguasai kemahiran tersebut lebih efektif. Prinsip-prinsip kemahiran menulis yang boleh dijadikan garis panduan melakukan latihan menulis adalah seperi berikut :
i. Latihan imlak mestilah diberi penegasan wajar kerana ia memberi latihan bertulis yang berguna kepada pelajar dengan memerlukan mereka menyalin dengan tepat sesuatu yang telah dibaca oleh guru.
ii. Latihan yang mencukupi perlu dijalankan untuk membolehkan pelajar membuat ayat-ayat yang betul untuk melahirkan fikiran dan perasaan tertentu.
iii. Pelajar mesti diberi latihan yang memadai untuk menulis perenggan yang terdiri daripada urutan ayat yang teratur dan logik.
iv. Penulisan karangan pada peringkat awal (menengah rendah) mestilah bersifat terpimpin atau terkawal dalam erti kata guru memberi bantuan dari segi perbendaharaan kata dan/atau kandungan.
v. Guru mestilah menitikberatkan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk kesalahan ejaan, tanda bacaan dan imbuhan.
vi. Untuk membolehkan pelajar mengenal hasil penulisan yang bermutu tinggi, guru patutlah mendedahkan mereka kepada karya penulisan yang baik daripada pelbagai sumber termasuk bahan yang ditulis oleh rakan sebaya.
2.4.11 Cara untuk Meningkatkan Kemahiran Menulis
Peranan guru amat penting dalam membimbing murid-murid untuk menguasai kemahiran menulis. Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar :
- Latihan imlak (dictation) di mana pelajar dikehendaki menyalin dengan betul ayat atau perenggan yang dipilih.
- Latihan menyempurnakan ayat atau urutan ayat dengan perkataan/frasa yang paling sesuai dan tepat.
- Latihan menyusun semula bahagian-bahagian ayat supaya menjadi ayat yang betul tatabahasanya.
- Latihan mengatur semula sebilangan ayat supaya menjadi satu perengan yang tersusun dan logik.
- Penulisan karangan bergambar sama ada berdasarkan sebuah gambar atau satu gambar bersiri.
- Penulisan surat biasa kepada ahli keluarga dan sahabat.
- Penulisan surat biasa kepada guru, jabatan kerajaan, dan syarikat untuk pelbagai tujuan.
- Penulisan notis, ucapan, mesej, kad jemputan, dan sebagainya.
- Latihan mengenal pasti dan membetulkan kesalahan (termasuk perbendaharaan kata, ejaan, tanda bacaan, imbuhan) dalam sebuah karangan.
- Menulis rangka karangan yang tajuknya telah diberi.
- Menulis karangan berformat (laporan, perbahasan, syarahan, ceramah, dan sebagainya) berdasarkan tugas yang diberi.
- Menilai suatu karangan dari segi kekuatan dan kelemahannya.
- Mengenal teknik-teknik untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik termasuk teknik membuat pendahuluan, huraian dan kesimpulan.
- Membuat rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
- Menterjemahkan petikan daripada bahasa tertentu ke bahasa Malaysia tanpa menjejaskan makna asalnya.
No comments:
Post a Comment